Monday, September 8, 2008

RAMADHAN DI SYAM

Ramadhan di damsyik sangat mengenakkan. Walaupun cuacanya kadang panas terik, namun ia tetap menyeronokkan. Semua masjid dipenuhi jemaah hampir setiap waktu. Jika d Malaysia, mungkin solat tarawihk sahaja yang ramai jemaah, adapun solat waktu hanya bertambah satu e dua saf. tetapi di Dimasyq, solat subuh dan asar seperti solat jumaat. Tambah tambah Jame Mahyuddin, Jame Abu Nur dan Jame Nablusi. Solat asar di Jame Mahyudin hanya tinggal 1 saf sahaja yang kosong. Meriah sungguh.

Pada pagi pertama Ramadhan, aku dikejutkan dengan budaya baru di sini. Mungkin ada di malaysia di kampung-kampung sewaktu ketika dahulu. Apa dia? Budaya mengejut sahur. Seawal jam 2.50 pagi sudah ada seorang lelaki yang akan memusing kawasan perumahan mengetuk gendang sambil melaungkan supaya bangun bersahur dan beribadat kepada Allah. Buka puasa pula mereka akan menembak meriam. Kadang dengar, kadang tidak.

Solat subuh sangat menyeronokkan. Hampir setiap hari aku ke Jame nablusi. Imamnya Sheikh Muhammad akan membaca 2 muka surat Al Quran setiap rakaat. Memang lama berdiri, tetapi mengasyikkan. Anak muda mendominasi 50 peratus jemaah. Yang tua sekitar 65 tahun ke atas mendominasi 30 peratus. Tidak ada masalah untuk solat lama walaupun sudah berusia 80 tahun kerana disediakan bangku untuk yang uzur. Mereka solat berdiri, tetapi jika tidak mampu mereka akan segera duduk. Jika di Malaysia, tua, uzur, sakit pinggang, sakit lutut jadi alasan untuk tidak berjemaah di masjid. Waktu muda katakan sibuk.

Tiap subuh ada kuliah subuh Sheik Ratib, jika dia tidak hadir, rakaman video akan diputarkan.

Solat tarawih pula boleh pilih puluhan masjid yang ada. nak solat cepat boleh ke Jame Sukar dan jame Butti. Tiap rakaat, satu ayat atau dua ayat sahaja di baca. Mungkin dalam masa 45 minit boleh habis 20 rakaat. Nak solat sederhana boleh ke Jame Abu Nur dan Jame zaid. Satu rakaat 1 muka surat, tetapi dibaca laju. Jika nak hayati bacaan yang panjang boleh ke Jame nablusi dan jame mahyudin. Jame Mahyudin, anak Sheikh Sukar imamkan.

Buka puasa pula boleh pilih jame. Biasanya kawan-kawan akan ke Jame Butti atau Jame hajibiah. Makan nasi arab lah. Tapi kami belum pernah lagi ke jame. Buka puasa dengan zaujah sahaja.

Demikianlah coretan bersahaja selepas buka puasa. Ok dah azan isyak, gua cau dulu.

AIR MATA RAMADHAN DAN DUIT 500 LERA

Isteri ku sarat mengandung 8 bulan. Menurut Dr Ghufran, 21 Oktober ini dijangka beliau bersalin. Namun aku tidak berpegang dengan tarikh itu. Kerana mentua ku dahulu kerap melahirkan anak kurang daripada 9 bulan. Isteriku 8 bulan, adiknya Alauddin juga beranak 8 bulan, Mardiah 7 bulan, Syamilah kurang dua minggu. Hanya Syarifah seorang sahaja yang cukup 9 bulan 10 hari.

Kelmarin aku bertemu seorang Mak Cik dari Baling Kedah. Dia datang melawat anaknya yang belajar di Damsyik. Dia telah memeriksa isteriku. Berdasarkan pengalaman mak cik ini, katanya isteriku sudah hampir bersalin. Paling lewat pun 1 bulan dari kelmarin. Maknanya tak cukup 9 bulan 10 hari jugaklah. Tapi boleh jadi seminggu, atau dua minggu dari sekarang.

Kemudian Kak Timah, zaujah ustaz Rauf, anak tok guru Pondok Sungai Korok, Jitra Kedah juga memeriksa isteriku. Katanya tak lama juga. Ini menambah bisikan hati ku bahawa kekasihku sudah hampir melahirkan anak.

Tidak mengapalah cepat ataupun lambat. Aku redha dengan kehendak Tuhan. Tetapi aku memikirkan persediaanku. Aku segera ke Money Changer di Comercial Bank di tengah Bandar untuk menukar duit Euro dan Dolar yang berbaki. Kalau mengikut kiraan aku, duit itu hanya cukup untuk isteriku bersalin dan sara hidup sebulan lagi. Tapi aku di sini paling tidak 5 bulan lagi. Rumah sewa tamat awal bulan oktober ni. Dah tentu tuan rumah aku meminta sewa seterusnya yang wajib dibayar 3 bulan sekaligus. Tilam bantal, pakaian baby belum dibeli. Tambahan tidak lama lagi nak masuk musim sejuk. Lepas raya nak daftar pengajian ke tahap 3. Banyak duit diperlukan.

Tapi aku tak nak pikir itu semua, Tuhan pasti memelihara orang menuntut ilmu. Ulat dalam batu boleh hidup, inikan manusia berakal. Selepas tukar duit, aku segera memasukkan ke dalam saku dan berlari di tengah terik matahari musim panas untuk mengejar bas. Sampai di rumah, isteri tercinta sudah menunggu. Panas, puasa, berlari, mendaki membuatkan muka aku kemerahan keletihan.

Segera menghempaskan badan ke lantai dan mengira duit yang ditukar. Dua tiga kali dikira, jumlahnya tidak cukup 500 lera. Aku tidak mahu kira siap-siap di Money Changer sebab kawasan tersebut terbuka dan orang ramai. Khuatir dirompak. Aku memeriksa poket aku, sah tidak cukup 500 lera. Aku kena tipu. Pegawai tersebut songlap duit aku. Ketika ini baru aku teringat, bulan lepas sewaktu aku tukar duit, tidak cukup juga dalam 50 lera. Tapi aku berperasangka baik mungkin aku tersilap kira. Tetapi untuk kali kedua dan jumlah 500 pula, aku mula merasakan mereka mencuri duit aku. Tak kanlah tersilap. Duit dikira dengan mesin canggih. Memang dasar arab tak berhati perut.

Kalau di pasar, penjual tembikai di Suq Mahyudin beberapa kali cuba tipu aku dan isteriku. Tapi bila kami lawan dia bagi balik duit. Timbangan selalu dikurangkan. Nilah penyakit sebahagian arab di sini. ada peluang sikit untuk tipu, pasti diambilnya.

Berbalik duti 500 lera tadi. Aku sangat sedih. Sudahlah itulah duit yang tinggal. Kalau dibuat makan, boleh membeli lauk untuk 2 minggu. Sudahlah bulan ramadhan. Duit itu aku tukar untuk anakku yang dalam perut. Dikebas orang dibulan yang mulia. Tanpaku sedari, air mataku meleleh ke pipi. Aku sebak mengenangkan kejadian tersebut. Aku segera memujuk hati, mungkin ini ujian tuhan di bulan ramadhan. Aku yakin Tuhan akan menambahkan lagi rezeki ku. Ya Tuhan, bantulah hambaMu ini…Aku tertidur dalam
lelehan air mata. Isteriku yang baru selesai solat zohor juga mengalirkan air mata mengenangkan kezaliman yang terkena.

Selepas solat asar aku ke rumah Ustaz Rauf (dahulu rumah Ustaz Azmel Mustafa). Dia mengajakku berbukan puasa di Jame Umawi. Setelah bersiap, kami keluar untuk ke servis. Di pertengahan jalan 4 orang lelaki muda bertubuh sasa berseluar jeans memanggil aku dan ustaz Rauf. Terkejut juga aku. Apa hal ni?

Setelah menghampiri mereka, dua dari lelaki ini mengeluarkan wang 1000 lera dan memasukkan ke dalam poket aku dan 1000 lera pada ustaz Rauf. Masya Allah…rezeki ustaz..rezeki.. Sebak hatiku…memang benar Allah mendengar suara hati ini. Tidak sampai 3 jam 500 lera hilang, Tuhan ganti dengan 1000 lera. Lelaki ini sedekah kepada kami dan meminta kami mendoakannya..

Keesokkan harinya, aku dan isteri solat subuh di Jame Nablusi. Selesai solat aku bangun untuk keluar ke kuliah Fiqh Manhaji, Akhi Marzuki. Di pintu masuk, seorang lelaki menahan aku dan menghulurkan wang 100 lera. Alhamdulilah…aku sangat bersyukur. Berkat doa dan sabar, Tuhan memurahkan rezeki ku. Aku keluar. Isteri sudah menunggu. Segera kami berjalan melintasi Jame Hajibiyah. Dipertengahan jalan, aku terdengar laungan,,, “Muhammad! Muhammad!” aku segera menoleh. Seorang tua berjubah putih memanggil ku. Kami menghampirinya. Sekali lagi rezeki kami murah. 100 lera dihulurkan lelaki tua ini kepada aku.. Aku bersyukur. Belum sampai 24 jam selepas hilang 500 lera, duit bertambah 1200 lera. Cukup untuk membeli lauk sebulan.

Inilah kebesaran Tuhan, Kekayaan Tuhan dan Kasihnya Tuhan kepada hambanya. Teringatlah aku kuliah Sheikh Ratib Nablusi pagi kelmarin tentang tajuk sabar. Di akhir kuliahnya, beliau menyebut Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Semoga kita semua terus sabar dengan ujian Allah.

# Budaya sedekah menjadi kebiasaan penduduk Syam ini di mana-mana sahaja.

AKU, SHEIKH SUKAR DAN TOK GURU HAJI HADI

Ketika mula sampai ke damsyik pada bulan mei yang lalu, aku menyewa satu bilik kecil berhampiran Jame sheikh Butti. Hampir tiap hari aku dapat memakmumkan solat diimamkan Sheikh said ramadhan al butti dan Sheikh Taufiq al Butti.

Namun di siang hari aku memilih untuk solat di Jame Sukar kerana walaupun sedikit jauh tetapi tidak perlu mendaki bukit. Mula-mula terkejut juga dengan nama Jame Sukar. apa yang Sukarnya? Kalau dalam bahasa Arab bermaksud 'gula', kalau Melayu bermakna susah. Namun setelah diperhatikan, tahulah aku, ia bersempena nama Sheikh Musa Sukar yang sudah tiada.

tetapi ada penggantinya bernama Shekh Muhamad Taha Sukar. ada yang mengatakan Shekh Muhamad taha Sukar ini cucu shekh Musa. jadi aku bertanya kawan-kawan, mana satu Shekh Muhamad Sukar(Shekh Sukar)? Tidak pernah dilihat pula di masjid ini.

Dipendekkan cerita, tahulah aku bahawa sheikh Sukar sudahpun uzur dan dia hanya bergerak dengan bantuan orang ramai. Dia juga dilihat berjemaah di Jame shekh Mahyuddin Ibnu Arabi.

Siapa Shekh Sukar? dia merupakan salah satu daripada 7 orang Sheikh Qura' di Syam yang mempunyai sanad hanya 4 tingkat dengan Ibnu abbas dan 5 tingkat dengan Rasullullah saw.

Anak muridnya yang terkenal bernama Sheikh samir dan sheikh anas. Setiap pagi ratusan Ajaanib yang belajar Al Quran dengan dua Sheikh ini di jame Mahyuddin. Budak melayu pun ramai. Biasanya nak lepas bacaan al fatihah dengan shekh samir memakan masa 2 minggu ke 4 bulan. Memang ketat sungguh.

Aku pun ngaji juga dengan Sheikh Muhamad di jame Nablusi, tetapi 3 atau 4 hari lepaslah surah Al Fatihah. Ini memakan masa berbulan-bulan. Hal ini menyebabkan aku ingin sangat bertemu dengan guru dua Sheikh ini yang aku hanya dengar namanya sahaja, solat di masjidnya setiap hari iaitu Sheikh Sukar.

namun tangguh punya tangguh, sehinggalah aku pulang bercuti ke Malaysia pertengahan July lalu. masuk bulan Ogos aku kembali ke damsyik dan masih menyimpan hasrat, paling kurang pun hendak bersalam dan menatap muka Sheikh Sukar.
Perasaan membuak-buak untuk bertemu dengan Shekh Sukar apabila aku berpindah rumah ke tepi jame sukar. sangat dekat. Tidak sampai 20 meter sahaja dengan rumah baru aku.

suatu pagi, aku berjalan dari rumah Akhi Marzuki bersama dindaku tersayang. kami melalui Suq Mahyudin yang sunyi sepi. Tiba-tiba kedengaran dari corong jame mahyuddin Ibnu arabi, pengumuman kematian. setelah mendengar, tahulah aku bahawa Sheikh Sukar telah kembali ke Rahmatullah pagi tersebut. Berlinang air mata memikirkan kekesalan tidak dapat bertemunya.

Inilah aku. ketika ulama begitu ramai hidup di masa ini, tidak mahu segera dicari untuk mendapat penyuluh hidup, tetapi apabila mati barulah.......

Namun hari itu aku sempat mengikuti solat jenazah puluhan ribu di jame Umawi. kemudian jenazah dibawa dengan berjalan kaki dari Jame Umawi ke jame mahyudin sejauh 20 KM. Mungkin dari tol gombak ke masjid negara agaknya. Jenazah beliau dikebumikan bersebelahan maqab Ibnu Arabi.....BERSAMBUNG

Wednesday, August 27, 2008

1 Juta Siam akan ditempatkan di sempadan Malaysia

Maklumat terkini yang diperolehi menunjukkan kerajaan Siam akan menempatkan rakyat Thailand keturunan Siam di sempadan malaysia. jumlah mereka seramai 1 juta orang.

hal ini bertujuan untuk menyusup penduduk baru di wilayah Patani ini bagi berhadapan dengan kemungkinan pengutan suara.

Setelah mendapat tekanan kuat daripada pejuang-pejuang Islam Patani semenjak peristiwa Tak Bai, kerajaan Siam Thai mula kendur dan mahu mencari jalan lain selain peperangan untuk menewaskan pejuang Patani. mereka melihat kematian 3500 tentera Thai sejak 4 tahun lalu satu angka yang besar dan memudaratkan.

Selain itu mereka sudah mula membuat rundingan untuk berdamai dengan beberapa pergerakan pejuang Patani seperti PULO. beberapa rundingan sedang dibuat di Indonesia dan beberapa negara lagi.

Thai berhadapan dengan kemungkinan akan berlakunya pungutan suara di wilayah Patani sama ada penduduk mahu merdeka ataupun bersama Thailand. oleh itu langkah awal ialah menyusup 1 juta orang Siam untuk duduk di sempadan dan apabila tiba masa mengundi mereka ini akan mengundi bagi pihak rakyat Patani. ini tektik pengundi hantu yang dipelajari dari Malaysia agaknya

Wednesday, July 16, 2008

3500 TENTERA DAN POLIS SIAM DIBUNUH DI FATANI

Ketua Unit Hubungan Luar PULO (pertubuhan pembebasan Patani) Najib Saleh telah memaklumkan sudah 3500 orang tentera dan polis siam berjaya di bunuh oleh pejuang Islam Patani. Angka ini dikira sejak bermulanya perang secara terbuka yang dilancarkan pejuang Islam Patani sejak empat tahun yang lalu.

Menurut beliau lagi, sehingga ke hari ini tidak ada hari dan waktu tanpa pembunuhan di Fatani. Sekitar tahun ini, setiap hari tidak kurang daripada 5 orang polis dan tentera penjajah Siam yang dibunuh di Patani.

Pejuang-pejuang sudah mula berani menembak anggota polis di balai-balai polis, di dalam keretapi dan di tempat awam. Semenjak peristiwa pembunuhan di Tak Bai, ketakutan rakyat Patani sudah mula hilang. Mereka tidak lagi menumpukan kepada perang gerila sahaja.

Ramai penduduk Siam di Fatani sudah berpindah ke Bangkok dan menjual tanah-tanah mereka di Fatani. mereka sentiasa dirundung ketakutan apabila berada di Fatani.

Oleh kerana tentangan yang kuat daripada pejuang Fatani, kerajaan Thailand mula mengajak PULO ke meja rundingan. Ini menandakan mereka tidak lagi mampu bertahan di Fatani ekoran kematian tentera mereka semakin meningkat di sana.

Namun PULO tetap dengan pendirian mereka untuk merdekakan Fatani sebagai sebuah negara berdaulat. Demikian kenyataan terkini ketua unit hubungan luar PULO yang disiarkan oleh akhbar-akhbar di Turki dan negara-negara Arab.

ULAMA YAMAN LANCAR SKUAD CEGAH MAKSIAT

Semalam berlangsungnya Multaqa Ulama Yaman di Dewan Apolo Sanaa. Himpunan ini dibuat rentetan daripada keputusan pakatan ratusan ulama Yaman untuk menghapuskan maksiat yang mula bercambah di Sanaa dan sekitarnya.

Majlis pelancaran itu dihadiri lebih 10 ribu rakyat Yaman dan ulama-ulama Yaman. Dalam majlis itu juga, mereka telah memilih Sheikh Majid Zandani sebagi ketua Skuad cegah maksiat ini. Ratusan tentera dan polis mengawal perhimpunan ini.

Sejak akhir-akhir ini banyak restoran 'orang asing' di Yaman sudah berani menjual arak secara terbuka. Hal ini telah mendatangkan kemarahan rakyat Yaman. Sebelum daripada Multaqa diadakan, Sheikh majid Zandani telah mengumpulkan ulama Yaman dan mereka bersepakat meminta kebenaran kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini.

Sunday, July 6, 2008

RATUSAN AHLI IKHWAN DITEMBAK DI SYRIA

Ratusan tahanan politik di syria telah dirempuh dalam satu rusuhan kelmarin. tahanan politik ini merupakan pejuang-pejuang Islam yang di tahan di penjara di pinggir Damsyik sejak sekian lama.

Mereka merupakan tahanan tanpa bicara daripada kumpulan jemaah Islam Ikhwanul Muslimin Syria. Menurut sumber yang rapat dengan kerajaan, sekurang-kurangnya 25 orang telah menemui Syahid dalam pertempuran dengan pihak keselamatan di penjara tersebut.

Di Syria, Ikhwanul Muslimin di haramkan. Pemimpin mereka telah ditangkap dan orang yang disyaki juga akan ditangkap secara senyap-senyap dan di tahan di penjara bawah tanah.

Syria yang terkenal dengan bilangan SB yang sangat ramai sangat memusuhi golongan Ikhwan. dikatakan setiap 10 orang rakyat Syria, seorang daripadanya adalah SB. mereka telah berjaya menakutkan rakyat mereka sehinggakan ahli keluarga pun tidak mempercayai diantara satu sama lain.

jika tersilap cakap menghentam kerajaan, maka hayatnya di luar penjara tidak lama. Sedar-sedar hilang seorang ahli keluarga. Di mana di tahan tidak diketahui. Ini kerana jumlah penjara bawah tanah yang begitu banyak di sini.

Pada awal bulan mei 2008, kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 3 kali ganda. Namun tidak ada kumpulan yang berani bangkit menentang kenaikkan ini kerana terlalu takut dengan SB kerajaan.

Malah, ulama-ulama di sini pun sebahagiannya apabila ditanya tentang kenaikkan harga minyak, mereka akan menjawab tidak ada masalah, kerana rezeki ada di mana-mana. Demikianlah keadaan negara Syria yang merupakan bumi ilmuan Islam dan ketamadunan yang hebat suatu ketika dahulu.

Friday, July 4, 2008

BEKAS TIMBALAN MENTERI SERTAI PAS MINGGU DEPAN?



Maklumat siber dan kawan-kawan yang rapat dengan pimpinan memaklumkan, seorang bekas timbalan Menteri daripada UMNO akan menyertai Pas minggu hadapan.

Timbalan Menteri ini dikatakan berasal dari negeri Pantai Timur. Siapakah menteri tersebut?

Ketiga-tiga negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan mempunyai bekas timbalan Menteri.

Di Pahang ada Dato Fauzi Abdul Rahman seorang bekas timbalan menteri di zaman 90-an. Beliau juga merupakan bekas ketua UMNO bahagian Kuantan. Dato Fauzi juga pernah menjadi ahl Parlimen Kuantan dan ADUN Beserah.

Beliau perah menimbulkan kontroversi apabila membuat laporan terhadap penyelewengan balak oleh bekas menteri besar Pahang Tun Khalil Yaakub. Kes ini menggemparkan Negara dan terdengar sejak daripada itu lagi desas-desus beliau ingin menyertai parti pembangkang.

Namun kemungkinan untuk beliau masuk PKR memang ada kerana dia dikatakan sebagai team Anwar ketika di dalam UMNO. Dengan Pas ada sedikit hubungan diantara beliau dengan Pesuruhjaya Pas Pahang Dato Tuan Ibrahim Tuan Man. Namun sejauh mana hubungan ini tidak diketahui.

Namun Dato Tuan Ibrahim pernah ke rumahnya ketika berlaku isu balak tersebut dan beliau dikatakan memberi kerjasama yang baik dengan memberikan maklumat penyelewengan yang didakwa. Tambahan pula ketika itu Dato Tuan Ibrahim merupakan ADUN Jengka.

Terbaru sebelum p;ilihanraya mac lalu, terdengar lagi desas desus beliau akan menyertai parti pembangkang, namun bukan Pas. Sebaliknya PKR.

Ada dua lagi dari negeri Pahang iaitu Datuk Hassan Arifin. Namun beliau bukanlah timbalan menteri pusat tetapi timbalan menteri besar Pahang di zaman Khalil Yaakub. Bekas ADUN Bukit Ibam ini mula dipingirkan UMNO selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Ini kerana beliau juga dikatakan sebagai team Anwar di dalam UMNO.

Timbalan menteri seterusnya ialah adinda Sultan Pahang iaitu Tengku Azlan Sultan Abu Bakar. Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan timbalan menteri pengangkutan ini menimbulkan kontroversi baru-baru ini apabila menolak perlantikan beliau sebagi timbalan menteri oleh Pedana Menteri mac lalu.

Ahli parlimen Jerantut ini didakwa tidak berpuas hati kerana tidak dilantik menjadi menteri penuh setelah dua penggal memegang jawatan timbalan menteri. Namun sejauhmana hubungan beliau dengan Pas tidak diketahui. Jika beliaulah yang dimaksudkan, ada dua kemungkinan di sini.

Pertamanya hubungan beliau dengan penasihat Badan Perhubungan Pas Pahang, Tengku Puji Tengku Abdul Hamid yang juga bapa saudaranya. Keduanya mungkin wujud hubungan dengan pesuruhjaya pas Pahang sendiri Dato Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga meupakan penasihat agama Istana Pahang. Namun sehinga ke hari ini belum ada desas desus kemasukan beliau.

Beralih ke negeri Kelantan, adanya Dato Awang Adek bekas timbalan menteri kewangan dan timbalan menteri tenaga. Namun tidak ada sebarang maklumat berkaitan beliau. Di terengganu ada dua nama yang terkenal. Pertamanya Dato Rahman Bakar bekas MP Marang dan Dato Tengku Putera bekas MP Hulu Terengganu. Kedua-dua bekas timbalan menteri ini tidak dipilih menjadi calon dalam pilihanraya lalu kerana tidak sebulu dengan Idris Jusuh.

Namun Tengku Putera hari ini dilantik menjadi Speaker dun Terengganu satu kedudukan yang selesa dan beliau dikatakan sedang menyusun untuk mengambil kembali tempatnya di Hulu Terengganu dengan bantuan dan sokongan kuat Menteri Besar yang juga Pengerusi perhubungan baru UMNO Terengganu Dato Ahmad Said.

Bagi Dato Rahman Bakar pula, beliau didakwa telah memberi maklumat rahsia UMNO kepada Pas dalam pilihanraya lalu. Maklumat ini berkaitan dengan pengundi hantu yang ingin dibawa UMNO dalam pilihanraya lalu. Beliau dikatakan telah menghubungi Dato Mustafa Ali dan memberikan maklumat berkaitan dengan pengundi hantu yang dibawa masuk ke kawasan dun yang ditandingi Dato Mustafa Ali.

Namun maklumat pengundi hantu yang beliau berikan dilihat sebagai indakan protes terhadap calon UMNO daripada team Idris Jusuh. Sejauhmana hubungan beliau dengan Pas selepas itu tidak diketahui.

Mengikut analisis ini ada 5 tmbalan menteri terkenal di negeri Pantai Timur. Mungkin ada nama-nama yang terlepas daripada ingatan penulis. Siapakah diantara mereka yang akan menyertai Pas? Nantikan mingu hadapan.


Thursday, July 3, 2008

MALAYSIA BUKAN NEGARA ISLAM: AL BUTTI

Sheikh Dr Taufik Ramadhan Al Butti menolak dakwaan Malaysia sebagai Negara Islam. Menurut beliau, bagaimana Malaysia boleh mengumumkan sebagai Negara Islam, sedangkan masalah besar umat Islam di Malaysia kerajaan tidak mampu selesaikan?

Antara masalah yang beliau sebutkan ialah berkaitan fenomena murtad yang menjadi-jadi di Malaysia hari ini. Bagi beliau, sebagai sebuah Negara Islam, tidak sepatutnya hal ini berlaku.

Beliau mempersoalkan kenapa selepas 50 tahun merdeka, jumlah bangsa selain Melayu menganut Islam amat minima. Kenapa orang Islam berbangsa Cina dan India tidak ramai di Malaysia? Sepatutnya selepas 50 tahun merdeka, ianya lebih berkembang. Namun sehingga ke hari ini, tidak sampai 20 peratus masyarakat Cina dan India di Malaysia menganut agama Islam.

Dr Taufiq membuat perbandingan dengan Negara-negara Barat. Walaupun Islam minoriti di negara-negara ini, namun perkembangannya semakin pesat hari ini. Di Negara seperti Jerman, Britain dan Russia, masjid di sana menerima tidak kurang empat orang seminggu yang memeluk agama Islam di setiap masjid.

Namun di Malaysia yang dikatakan Negara Islam, perkembangan tersebut tidak berlaku. Kenyataan Dr Taufiq Al Butti ini ada kebenarannya. Ramai dikalangan masyarakat Arab dan guru-guru agama di sini (Syria) menyangka bahawa kesemua 3 kaum di Malaysia beragama Islam secara mejoritinya. Mereka menyangka 90 peratus rakyat Malaysia beragama Islam.

Oleh itu mereka amat menggeruni kehebatan pemerintah Malaysia yang kononnya berjaya mengIslamkan 3 kaum utama di Malaysia secara majoriti. Namun hakikat yang berlaku sebaliknya.

Keduanya, beliau pelik dengan masalah halal haram makanan yang berlaku di Malaysia. Sepatutnya apabila dalam Negara Islam, tidak ada masalah makanan yang diragui halal haramnya.

"Kenapa dalam sebuah Negara Islam perlu diletakkan logo halal pada makanannya? Ini tidak lain tidak bukan kerana berlaku masalah keraguan makanan di negara tersebut, " soal Dr Taufiq.

Beliau yang juga anak kepada ulama terkenal Sheikh Dr Said Ramadhan Al Butti menegaskan sepatutnya dalam Negara Islam, makanan yang tidak halal lah yang perlu diwajibkan meletakkan logo non halal.

Apabila kita pergi ke negara barat dan negara bukan Islam, kita terpaksa memilih makanan yang halal untuk di makan. Ini perkara biasa. Namun amat luar biasa apabila kita ke Negara Islam pun kita terpaksa memilih makanan yang ada logo halal.

PENGASAS GERAKAN ISLAM PATANI MENINGGAL DUNIA

Oleh: Ibnu Ismail

Sejarah Patani penuh dengan onak dan duri. Ia telah melalui ratusan tahun yang berliku-liku.I Ia bermula dengan pemerintahan kerajaan Srivijaya yang merangkumi Patani, Yala, Naratiwat dan beberapa daerah di Semenanjung Tanah Melayu.

Srivijaya yang menganut fahaman Hindu-Budha berkiblatkan kerajaan yang berpusat di Palembang, Indonesia.

Setelah kedatangan Islam ke rantau Nusantara, Patani turut tidak ketinggalan membina kesultanan Melayu Islam di wilayah-wilayah yang bermajoritikan penduduk Islam itu.

Namun ia tidak kekal lama. Penjajahan demi penjajahan berlaku ke atas bumi Patani yang menyaksikan penduduk Islam menjadi mangsa kekejaman dan penindasan.

Tekanan ke atas umat Islam amat nyata sekali apabila dipaksakan ke atas mereka supaya tidak mendaftarkan anak-anak yang baru dilahirkan dengan nama Melayu Islam. Beberapa nama tempat juga ditukar istilah Melayu kepada bahasa Siam.

Kurang jelas perjuangan umat Islam menentang penjajah di zaman dahulu kala. Namun sejak tahun 1968, umat Islam mampu berbangga dengan kemunculan gerakan pejuang yang mempunyai organisasi dan strategi perjuangan.

Pada tahun berkenaan, tokoh Islam ketika itu Haji Kabir bin Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Pak Ku Kabir bersama pemimpin-pemimpin Islam yang lain telah mengisytiharkan jihad ke atas penjajahan Siam di bumi umat Islam, Patani.

Bagi merealisasikan perjuangan berkenaan, mereka menubuhkan sebuah pertubuhan yang dikenalisebagai PULA (Patani United Liberation Army). Nama berkenaan kemudian ditukar kepada PULO (Patani United Liberation Organisation).

Mereka melancarkan perang secara gerila ke atas kedudukan tentera Siam. Perjuangan mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kerajaan Siam (Thai) tidak memandang enteng terhadap kewujudan kumpulan ini.

Mereka memburu para pejuang Islam ini ke seluruh ceruk rantau. Ramai para ulama’ dan guru-guru agama ditangkap. Setelah ditangkap, kebanyakan mereka tidak dapat dikesan lagi di mana mereka dipenjarakan dan sama ada mereka masih hidup atau telah dibunuh.

Kerajaan turut menggunakan teknik menculik pejuang-pejuang Islam. Seorang demi seorang guru agama hilang begitu sahaja. Tindakan ganas askar Siam semakin terserlah apabila pada tahun 2004, mereka menggunakan kekerasan secara terang-terangan bagi menyuraikan perhimbunan umat Islam yang menuntut supaya dibebaskan guru-guru agama yang ditahan di Takbai.

Tentera kerajaan Thaksin Shinawatra telah membunuh seramai 1500 orang Islam yang berkumpul tanpa senjata. Alasan mereka sebagai pengganas tidak dapat diterima. Bukan sekadar tidak bersenjata, bahkan mereka datang dengan memakai kain pelikat; membuktikan pelajar-pelajar pondok ini langsung tidak mengancam keselamatan negara.

Bagi pemimpin gerakan Islam, nyawa mereka sentiasa berada dalam bahaya. Mereka sentiasa diburu. Pengasas PULO, Pak Ku Kabir mendapati dirinya dalam bahaya jika terus berada di bumi Patani.

Beliau bersama beberapa orang yang lain akhirnya mendapat suaka politik dari kerajaan Syria. Beliau tinggal di sana sejak sekian lama bukanlah kerana melarikan diri. Tetapi atas sebab keselamatan di samping mengatur perjuangan dari ‘jarak jauh’.

Di Syria, beliau tinggal di Kampung Jamik Butti. Rumah beliau hanya beberapa meter dari rumah Syeikh Said Ramadhan Al Buti. Perkampungan ini terletak berhampiran dengan Jabal Qasim iaitu bukit yang menempatkan Maqam Arba’in dan kubur Nabi Zulkifli.

Tinggal di Syria memberi peluang kepada Pak Ku Kabir untuk berhubung dengan rakan-rakan seperjuangan dari Syria dan negara-negara sekitar, khususnya Palestin.

Tanggal 28 Jun lalu, Pak Ku Kabir menghembuskan nafas terakhir. Kematiannya diratapi oleh rakan-rakan seperjuangan di seluruh dunia. Penduduk Damsyik menggantung poster kematian Pak Ku Kabir di masjid-masjid dan tempat-tempat awam.

Solat jenazah turut dihadiri wakil-wakil kerajaan dan kedutaan asing serta gerakan Islam. Ketua Biro Politik Hamas, Khalid Masy’al turut serta dalam solat jenazah dan program tahlil di markaz Hamas Syria.

Semoga Allah merahmati Pak Ku Kabir dan menempatkannya bersama-sama pejuang Islam yang telah gugur syahid.

Sunday, June 29, 2008

PAK KU PEJUANG FATHANI KEMBALI KE RAHMATULLAH

Semalam bumi Syam menangisi kematian seorang pejuang Islam Fathani yang di kenali sebagai Pak Ku. Pak Ku atau nama sebenarnya Haji Kabir Abdul Rahman merupakan salah seorang daripada 3 pengasas barisan Pejuang Pembebasan Fathani.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Ketua Umum POLO telah mendapat suaka politik di Syria sejak sekian lama. Ribuan warga Syria, Palestin, pelajar Fathani di Syria dan orang ramai turut serta dalam solat jenazah semalam. turut hadir wakil wakil kerajaan, kedutaan-kedutaan asing, wakil pejuang Hamas dan kenamaan yang lain.

Selepas maghrib diadakan bacaan tahlil untuk Almarhum di markaz Hamas di Syria. turut serta dalam majlis malam tadi Ketua Biro Politik Hamas Khaled Masyaal dan beberapa pemimpin Hamas yang lain.

selepas solat subuh tadi, poster-poster mula dilekatkan di masjid-masjid dan kawasan awam di Damsyik bagi mengumumkan kematian beliau.

Untuk mengetahui latar belakang dan perjuangannya, nantikan tulisan seterusnya selepas ini.

Wednesday, June 25, 2008

Dr Wahbah rindu Tok Guru Haji Hadi

Sebelum maghrib semalam penulis sempat berjalan beriringan berdua dengan Dr Wahbah untuk ke jame kuaiti(Jame Othman) di dimasyq. Setelah mengetahui saya dari Malaysia, dia bertanya khabar sahabatnya Sheikh Abdul Hadi Awang

Mungin beliau belum sempat bertemu Tok Guru Haji Hadi selepas kemenangan pilihanraya baru-baru ini. Malam ini Sheikh Wahbah berjanji untuk bertemu kami rombongan dari Malaysia selepas maghrib

Nantikan khabar pertemuan seterusnya, terutama sekali pandangan Sheikh terhadap Islam Hadhari, Malaysia sebagai Negara Islam dan doa Sheikh memohon kejatuhan pemimpin yang zalim sebelum pilihanraya lalu.

PAKATAN VS BN 7+0

EURO 2008: PAKATAN VS BARISAN NASIONAL 7+0

Perlawanan persahabatan diantara BN dan Pakatan telah masuk ke separuh masa yang kedua. Pada pusingan pertama, team Pakatan telah merembat 6 gol melalui penyerang utama Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penyerang kedua seorang bekas banduan, Lim Guan Eng. Pada minit kedua puluh, Azizan Razak telah merembat gol yang ketiga, diikuti minit ke 25 pertahanan kanan Khalid Ibrahim menyumbang gol yang keempat.
Sejarah tercipta, apabila penjaga gol Pakatan Rakyat Ir Nizar Jamaludin telah membuat sepakan kencang dari gol Pakatan terus ke gol BN. Penjaga gol BN Tajul Rosli tersungkur di belakang tiang gol apabila keliru dengan sepakan yang dibuat.
Di hujung separuh akhir pertama, pertahanan kiri Pakatan Rakyat, Dr Lo Lo telah membuat rembatan keenam dengan dibantu rakan sepasukan, Nurul Izzah dan Wee Kah Cheong daripada team Pakatan.
Setelah berehat selama beberapa bulan, perlawanan diteruskan separuh masa kedua. Berlaku sedikit perubahan apabila penyerang kanan Pakatan, Anwar Ibrahim telah dibenarkan beraksi semula dipadang setelah digantung dan dikurung selama enam tahun. Beliau memulakan perlawanan dengan memberi bola tanggung kepada rakan beliau Haji Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi telah melontar bola ke kanan dan disambut oleh pemain veteran Lim Kit Siang. Bola dipulangkan kembali kepada Anwar dan Anwar terus merembat tepat ke gol BN. Namun penjaga gol baru BN Mohamamad Mohd Taib berjaya menangkap bola.
Terdengar sorakan dari kelab penyokong pasukan BN yang diketuai menantu penyerang utamanya Khairi Brooks. Pasukan penyorak mereka telah boo pemain Pakatan kerana tidak berjaya menyumbang gol ketujuh. Pada minit kelima separuh masa kedua, sekali lagi penyerang kanan Pakatan membuat rembatan tepat ke galang gol BN. Namun sekali lagi Khairi Brooks dan ahli kelab penyokong BN menyorak Pakatan kerana bola telah melepasi gelanggang.
Namun, pada minit kelapan belas, pertahanan kanan BN Dato Yong Teck Lee telah merembat bola masuk ke gol sendiri. Pemain yang berasal dari Sabah ini telah membuat sepakan protes apabila tidak berpuas hati dengan penyerang utama mereka Wak Lah Bodowi yang melantik menantunya Khairi Brooks sebagai pengurus pasukan yang baru. Tindakan Dato Yong Teck Lee ini telah menyumbang gol ketujuh percuma buat Pakatan Rakyat.
Permainan terpaksa ditangguh sementara akibat pergolakan dalam pasukan BN. Pertahanan kiri BN, Ali Rustami telah menumbuk Dato Yong Teck Lee di tengah padang. Selain itu, pemain veteran BN, G Samy Vellu telah mencubit perut Yong. Pengurus pasukan yang baru Khairi Brooks juga telah menyepak curi belakang Yong.
Namu setakat ini, tiada kecederaan berat yang dialami Dato Yong. Maklumat terkini mendapati, beberapa pegawai BPR telah diarahkan oleh penyerang Utama pasukan BN, Wak Lah Bodowi untuk memulas telinga Yong yang dikatakan khianat pada pasukan.
Menurut pengulas bola sepak dunia, Ronaldo Hadhari, kejadian ini merupakan yang pertama di Malaysia. Ia mungkin terjadi disebabkan pasukan BN tidak pernah mengalami kekalahan sejak 50 tahun yang lalu.
Pasukan BN terkenal dengan permainan kotor mereka apabila kerap menyepak kangkang dan menyengkang kaki lawan di tengah padang. Mereka juga sering merasuah pengadil lama T Rashitendam.
Menurut Ronaldo Hadhari lagi, pasukan BN pernah membunuh 15 pemain muda Pakatan yang diketui oleh Ibrahim Libya yang sedang menjalani latihan padang di Memali Baling Kedah. Malah mereka pernah bertindak mengurung penyerang kanan Pakatan, Anwar Ibrahim selama enam tahun di sebuah kurungan di Sungai Buluh.
Sekian berita utama dari Radio Kerinchi FM. Nantikan berita penting selepas ini. jangan lupa siaran langsung selepas ini Euro 08 Turki akan menentang Jerman.

Friday, June 6, 2008


KENYATAAN AKHBAR KOMUNITI MAHASISWA KERINCHI (KMK) MENGENAI ISU KENAIKAN HARGA MINYAK
Tarikh: 05 Jun 2008


KENAIKAN harga minyak sebanyak 40% yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini mengejutkan semua pihak. Walaupun ura-ura kenaikan itu sudah kedengaran sebelum pilihanraya, namun ia tidak dijangka setinggi itu.
Oleh itu Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK) menganggap pihak kerajaan sengaja menyimbah petrol ke atas bara kemarahan rakyat yang masih belum padam sejak tsunami 8 Mac lalu.
Alasan kerajaan menaikkan harga minyak untuk mengurangkan kos subsidi tidak dapat diterima oleh rakyat. Ini kerana KMK merasakan kerajaan lebih gemar membiayai pampasan projek tergendala daripada mengutamakan kebajikan rakyat. Cara hidup dan polisi bermewah-mewah kerajaan dalam keadaan rakyat menanggung inflasi dan dibebankan lagi dengan kenaikan harga minyak ini dilihat sangat tidak wajar dan tidak boleh diterima akal.
Atas asas itu juga KMK mempersoalkan kewajaran kerajaan menarik subsidi untuk rakyat. Ini kerana Perdana Menteri dan Jemaah Menteri adalah golongan yang paling banyak menerima subsidi daripada duit rakyat. Ketika kerajaan menaikkan harga minyak dalam masa yang sama mereka mengekalkan subsidi rumah, kenderaan, pengangkutan, keraian dan pelbagai lagi yang dinikmati pemimpin kerajaan atas nama elaun yang berjumlah puluhan juta setahun.
Kenapa peruntukan untuk rakyat dinamakan subsidi, tetapi untuk pemimpin negara dinamakan elaun dan ia terus dikekalkan? Kenapa kerajaan masih berkeras untuk menaikkan harga minyak ketika jurang kaya miskin di negara ini semakin menjarak? KMK menyeru kerajaan agar segera berhenti dari terus membohongi rakyat. Subsidi adalah hak rakyat dan kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan mereka.

Oleh itu KMK menyenaraikan beberapa tuntutan yang mesti dipenuhi oleh kerajaan berhubung isu ini:
Menyeru Pak Lah keluar segera dari kediaman subsidi Sri Perdana dan menetap bersama rakyat di Flat Kampung Kerinchi. Ini bagi memastikan beliau turut serta menikmati hidup tanpa subsidi bersama rakyat. Begitu juga dengan Najib dan menteri kabinet yang lain.
Meminta ditarik juga segala subsidi atas nama elaun yang diterima oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet selama ini. Elaun ini perlu digunakan untuk menampung harga minyak sekarang.
Sekiranya tuntutan ini dipandang remeh dan harga minyak tidak diturunkan, maka KMK menyeru agar Pak Lah bersama jemaah menterinya bersedia untuk dipecat oleh rakyat. Jangan menipu rakyat dengan istilah elaun dan subsidi.



Mohd Nasaie Ismail
Jurucakap Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK),
Kuala Lumpur.