Monday, September 8, 2008

AIR MATA RAMADHAN DAN DUIT 500 LERA

Isteri ku sarat mengandung 8 bulan. Menurut Dr Ghufran, 21 Oktober ini dijangka beliau bersalin. Namun aku tidak berpegang dengan tarikh itu. Kerana mentua ku dahulu kerap melahirkan anak kurang daripada 9 bulan. Isteriku 8 bulan, adiknya Alauddin juga beranak 8 bulan, Mardiah 7 bulan, Syamilah kurang dua minggu. Hanya Syarifah seorang sahaja yang cukup 9 bulan 10 hari.

Kelmarin aku bertemu seorang Mak Cik dari Baling Kedah. Dia datang melawat anaknya yang belajar di Damsyik. Dia telah memeriksa isteriku. Berdasarkan pengalaman mak cik ini, katanya isteriku sudah hampir bersalin. Paling lewat pun 1 bulan dari kelmarin. Maknanya tak cukup 9 bulan 10 hari jugaklah. Tapi boleh jadi seminggu, atau dua minggu dari sekarang.

Kemudian Kak Timah, zaujah ustaz Rauf, anak tok guru Pondok Sungai Korok, Jitra Kedah juga memeriksa isteriku. Katanya tak lama juga. Ini menambah bisikan hati ku bahawa kekasihku sudah hampir melahirkan anak.

Tidak mengapalah cepat ataupun lambat. Aku redha dengan kehendak Tuhan. Tetapi aku memikirkan persediaanku. Aku segera ke Money Changer di Comercial Bank di tengah Bandar untuk menukar duit Euro dan Dolar yang berbaki. Kalau mengikut kiraan aku, duit itu hanya cukup untuk isteriku bersalin dan sara hidup sebulan lagi. Tapi aku di sini paling tidak 5 bulan lagi. Rumah sewa tamat awal bulan oktober ni. Dah tentu tuan rumah aku meminta sewa seterusnya yang wajib dibayar 3 bulan sekaligus. Tilam bantal, pakaian baby belum dibeli. Tambahan tidak lama lagi nak masuk musim sejuk. Lepas raya nak daftar pengajian ke tahap 3. Banyak duit diperlukan.

Tapi aku tak nak pikir itu semua, Tuhan pasti memelihara orang menuntut ilmu. Ulat dalam batu boleh hidup, inikan manusia berakal. Selepas tukar duit, aku segera memasukkan ke dalam saku dan berlari di tengah terik matahari musim panas untuk mengejar bas. Sampai di rumah, isteri tercinta sudah menunggu. Panas, puasa, berlari, mendaki membuatkan muka aku kemerahan keletihan.

Segera menghempaskan badan ke lantai dan mengira duit yang ditukar. Dua tiga kali dikira, jumlahnya tidak cukup 500 lera. Aku tidak mahu kira siap-siap di Money Changer sebab kawasan tersebut terbuka dan orang ramai. Khuatir dirompak. Aku memeriksa poket aku, sah tidak cukup 500 lera. Aku kena tipu. Pegawai tersebut songlap duit aku. Ketika ini baru aku teringat, bulan lepas sewaktu aku tukar duit, tidak cukup juga dalam 50 lera. Tapi aku berperasangka baik mungkin aku tersilap kira. Tetapi untuk kali kedua dan jumlah 500 pula, aku mula merasakan mereka mencuri duit aku. Tak kanlah tersilap. Duit dikira dengan mesin canggih. Memang dasar arab tak berhati perut.

Kalau di pasar, penjual tembikai di Suq Mahyudin beberapa kali cuba tipu aku dan isteriku. Tapi bila kami lawan dia bagi balik duit. Timbangan selalu dikurangkan. Nilah penyakit sebahagian arab di sini. ada peluang sikit untuk tipu, pasti diambilnya.

Berbalik duti 500 lera tadi. Aku sangat sedih. Sudahlah itulah duit yang tinggal. Kalau dibuat makan, boleh membeli lauk untuk 2 minggu. Sudahlah bulan ramadhan. Duit itu aku tukar untuk anakku yang dalam perut. Dikebas orang dibulan yang mulia. Tanpaku sedari, air mataku meleleh ke pipi. Aku sebak mengenangkan kejadian tersebut. Aku segera memujuk hati, mungkin ini ujian tuhan di bulan ramadhan. Aku yakin Tuhan akan menambahkan lagi rezeki ku. Ya Tuhan, bantulah hambaMu ini…Aku tertidur dalam
lelehan air mata. Isteriku yang baru selesai solat zohor juga mengalirkan air mata mengenangkan kezaliman yang terkena.

Selepas solat asar aku ke rumah Ustaz Rauf (dahulu rumah Ustaz Azmel Mustafa). Dia mengajakku berbukan puasa di Jame Umawi. Setelah bersiap, kami keluar untuk ke servis. Di pertengahan jalan 4 orang lelaki muda bertubuh sasa berseluar jeans memanggil aku dan ustaz Rauf. Terkejut juga aku. Apa hal ni?

Setelah menghampiri mereka, dua dari lelaki ini mengeluarkan wang 1000 lera dan memasukkan ke dalam poket aku dan 1000 lera pada ustaz Rauf. Masya Allah…rezeki ustaz..rezeki.. Sebak hatiku…memang benar Allah mendengar suara hati ini. Tidak sampai 3 jam 500 lera hilang, Tuhan ganti dengan 1000 lera. Lelaki ini sedekah kepada kami dan meminta kami mendoakannya..

Keesokkan harinya, aku dan isteri solat subuh di Jame Nablusi. Selesai solat aku bangun untuk keluar ke kuliah Fiqh Manhaji, Akhi Marzuki. Di pintu masuk, seorang lelaki menahan aku dan menghulurkan wang 100 lera. Alhamdulilah…aku sangat bersyukur. Berkat doa dan sabar, Tuhan memurahkan rezeki ku. Aku keluar. Isteri sudah menunggu. Segera kami berjalan melintasi Jame Hajibiyah. Dipertengahan jalan, aku terdengar laungan,,, “Muhammad! Muhammad!” aku segera menoleh. Seorang tua berjubah putih memanggil ku. Kami menghampirinya. Sekali lagi rezeki kami murah. 100 lera dihulurkan lelaki tua ini kepada aku.. Aku bersyukur. Belum sampai 24 jam selepas hilang 500 lera, duit bertambah 1200 lera. Cukup untuk membeli lauk sebulan.

Inilah kebesaran Tuhan, Kekayaan Tuhan dan Kasihnya Tuhan kepada hambanya. Teringatlah aku kuliah Sheikh Ratib Nablusi pagi kelmarin tentang tajuk sabar. Di akhir kuliahnya, beliau menyebut Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Semoga kita semua terus sabar dengan ujian Allah.

# Budaya sedekah menjadi kebiasaan penduduk Syam ini di mana-mana sahaja.

1 comment:

Nazmie Samarahan said...

Assalmualaikum..
Ya Allah..bergenang juga air mata ana baca kisah anta akhi..moga terus istiqomah dalam perjuangan.. Dan terus pimpin kami adik2 ni..