Thursday, July 3, 2008

PENGASAS GERAKAN ISLAM PATANI MENINGGAL DUNIA

Oleh: Ibnu Ismail

Sejarah Patani penuh dengan onak dan duri. Ia telah melalui ratusan tahun yang berliku-liku.I Ia bermula dengan pemerintahan kerajaan Srivijaya yang merangkumi Patani, Yala, Naratiwat dan beberapa daerah di Semenanjung Tanah Melayu.

Srivijaya yang menganut fahaman Hindu-Budha berkiblatkan kerajaan yang berpusat di Palembang, Indonesia.

Setelah kedatangan Islam ke rantau Nusantara, Patani turut tidak ketinggalan membina kesultanan Melayu Islam di wilayah-wilayah yang bermajoritikan penduduk Islam itu.

Namun ia tidak kekal lama. Penjajahan demi penjajahan berlaku ke atas bumi Patani yang menyaksikan penduduk Islam menjadi mangsa kekejaman dan penindasan.

Tekanan ke atas umat Islam amat nyata sekali apabila dipaksakan ke atas mereka supaya tidak mendaftarkan anak-anak yang baru dilahirkan dengan nama Melayu Islam. Beberapa nama tempat juga ditukar istilah Melayu kepada bahasa Siam.

Kurang jelas perjuangan umat Islam menentang penjajah di zaman dahulu kala. Namun sejak tahun 1968, umat Islam mampu berbangga dengan kemunculan gerakan pejuang yang mempunyai organisasi dan strategi perjuangan.

Pada tahun berkenaan, tokoh Islam ketika itu Haji Kabir bin Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Pak Ku Kabir bersama pemimpin-pemimpin Islam yang lain telah mengisytiharkan jihad ke atas penjajahan Siam di bumi umat Islam, Patani.

Bagi merealisasikan perjuangan berkenaan, mereka menubuhkan sebuah pertubuhan yang dikenalisebagai PULA (Patani United Liberation Army). Nama berkenaan kemudian ditukar kepada PULO (Patani United Liberation Organisation).

Mereka melancarkan perang secara gerila ke atas kedudukan tentera Siam. Perjuangan mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kerajaan Siam (Thai) tidak memandang enteng terhadap kewujudan kumpulan ini.

Mereka memburu para pejuang Islam ini ke seluruh ceruk rantau. Ramai para ulama’ dan guru-guru agama ditangkap. Setelah ditangkap, kebanyakan mereka tidak dapat dikesan lagi di mana mereka dipenjarakan dan sama ada mereka masih hidup atau telah dibunuh.

Kerajaan turut menggunakan teknik menculik pejuang-pejuang Islam. Seorang demi seorang guru agama hilang begitu sahaja. Tindakan ganas askar Siam semakin terserlah apabila pada tahun 2004, mereka menggunakan kekerasan secara terang-terangan bagi menyuraikan perhimbunan umat Islam yang menuntut supaya dibebaskan guru-guru agama yang ditahan di Takbai.

Tentera kerajaan Thaksin Shinawatra telah membunuh seramai 1500 orang Islam yang berkumpul tanpa senjata. Alasan mereka sebagai pengganas tidak dapat diterima. Bukan sekadar tidak bersenjata, bahkan mereka datang dengan memakai kain pelikat; membuktikan pelajar-pelajar pondok ini langsung tidak mengancam keselamatan negara.

Bagi pemimpin gerakan Islam, nyawa mereka sentiasa berada dalam bahaya. Mereka sentiasa diburu. Pengasas PULO, Pak Ku Kabir mendapati dirinya dalam bahaya jika terus berada di bumi Patani.

Beliau bersama beberapa orang yang lain akhirnya mendapat suaka politik dari kerajaan Syria. Beliau tinggal di sana sejak sekian lama bukanlah kerana melarikan diri. Tetapi atas sebab keselamatan di samping mengatur perjuangan dari ‘jarak jauh’.

Di Syria, beliau tinggal di Kampung Jamik Butti. Rumah beliau hanya beberapa meter dari rumah Syeikh Said Ramadhan Al Buti. Perkampungan ini terletak berhampiran dengan Jabal Qasim iaitu bukit yang menempatkan Maqam Arba’in dan kubur Nabi Zulkifli.

Tinggal di Syria memberi peluang kepada Pak Ku Kabir untuk berhubung dengan rakan-rakan seperjuangan dari Syria dan negara-negara sekitar, khususnya Palestin.

Tanggal 28 Jun lalu, Pak Ku Kabir menghembuskan nafas terakhir. Kematiannya diratapi oleh rakan-rakan seperjuangan di seluruh dunia. Penduduk Damsyik menggantung poster kematian Pak Ku Kabir di masjid-masjid dan tempat-tempat awam.

Solat jenazah turut dihadiri wakil-wakil kerajaan dan kedutaan asing serta gerakan Islam. Ketua Biro Politik Hamas, Khalid Masy’al turut serta dalam solat jenazah dan program tahlil di markaz Hamas Syria.

Semoga Allah merahmati Pak Ku Kabir dan menempatkannya bersama-sama pejuang Islam yang telah gugur syahid.

No comments: