Thursday, July 3, 2008

MALAYSIA BUKAN NEGARA ISLAM: AL BUTTI

Sheikh Dr Taufik Ramadhan Al Butti menolak dakwaan Malaysia sebagai Negara Islam. Menurut beliau, bagaimana Malaysia boleh mengumumkan sebagai Negara Islam, sedangkan masalah besar umat Islam di Malaysia kerajaan tidak mampu selesaikan?

Antara masalah yang beliau sebutkan ialah berkaitan fenomena murtad yang menjadi-jadi di Malaysia hari ini. Bagi beliau, sebagai sebuah Negara Islam, tidak sepatutnya hal ini berlaku.

Beliau mempersoalkan kenapa selepas 50 tahun merdeka, jumlah bangsa selain Melayu menganut Islam amat minima. Kenapa orang Islam berbangsa Cina dan India tidak ramai di Malaysia? Sepatutnya selepas 50 tahun merdeka, ianya lebih berkembang. Namun sehingga ke hari ini, tidak sampai 20 peratus masyarakat Cina dan India di Malaysia menganut agama Islam.

Dr Taufiq membuat perbandingan dengan Negara-negara Barat. Walaupun Islam minoriti di negara-negara ini, namun perkembangannya semakin pesat hari ini. Di Negara seperti Jerman, Britain dan Russia, masjid di sana menerima tidak kurang empat orang seminggu yang memeluk agama Islam di setiap masjid.

Namun di Malaysia yang dikatakan Negara Islam, perkembangan tersebut tidak berlaku. Kenyataan Dr Taufiq Al Butti ini ada kebenarannya. Ramai dikalangan masyarakat Arab dan guru-guru agama di sini (Syria) menyangka bahawa kesemua 3 kaum di Malaysia beragama Islam secara mejoritinya. Mereka menyangka 90 peratus rakyat Malaysia beragama Islam.

Oleh itu mereka amat menggeruni kehebatan pemerintah Malaysia yang kononnya berjaya mengIslamkan 3 kaum utama di Malaysia secara majoriti. Namun hakikat yang berlaku sebaliknya.

Keduanya, beliau pelik dengan masalah halal haram makanan yang berlaku di Malaysia. Sepatutnya apabila dalam Negara Islam, tidak ada masalah makanan yang diragui halal haramnya.

"Kenapa dalam sebuah Negara Islam perlu diletakkan logo halal pada makanannya? Ini tidak lain tidak bukan kerana berlaku masalah keraguan makanan di negara tersebut, " soal Dr Taufiq.

Beliau yang juga anak kepada ulama terkenal Sheikh Dr Said Ramadhan Al Butti menegaskan sepatutnya dalam Negara Islam, makanan yang tidak halal lah yang perlu diwajibkan meletakkan logo non halal.

Apabila kita pergi ke negara barat dan negara bukan Islam, kita terpaksa memilih makanan yang halal untuk di makan. Ini perkara biasa. Namun amat luar biasa apabila kita ke Negara Islam pun kita terpaksa memilih makanan yang ada logo halal.

No comments: